Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Seorang maut manakala 10 yang lain cedera apabila seorang pengebom bunuh diri meledakkan bahan letupan yang dipasang pada badannya di sekitar Masjid Jami' Imam Husain (a.s), Timur Arab Saudi hari ini.
Laporan awal menyatakan bom tersebut diledakkan ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat. Pengganas yang berpakaian wanita pada mulanya ingin melakukan jenayah tersebut di pintu masuk wanita. Namun sebaik sahaja menyedari gerak-gerinya diawasi pengawal masjid, dia bertindak meledakkan bom tersebut di medan kenderaan.
Berasaskan laporan ini, seorang anggota jawatankuasa masjid mengejar pengganas tersebut sebelum memasuki perkarangan solat wanita. Pengganas yang terdesak itu nekad meledakkan bom sehingga membunuh dirinya dan ahli jawatankuasa tersebut.
Televisyen al-Mayadeen turut mengesahkan serangan di Dammam itu.
Kota Dammam terletak di Timur Arab Saudi yang didiami minoriti pengikut mazhab Syiah.
Sebelum ini, pengganas IS (Negara Islam) bertindak menyerang masjid Imam Ali (a.s) di Qudaih, daerah Qatif sehingga menyebabkan 21 orang terkorban.






